Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025. Turut hadir (hujung kiri) Ahli Lembaga Pengurusan Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, Husna Abdul Rahman (dua dari kiri), Datuk Norasni Ayob (dua dari kanan), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (hujung kanan), dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid (tiga dari kanan). Foto PTPTN

KUALA LUMPUR – Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengumpul kutipan deposit berjumlah RM222.29 juta, melepasi sasaran asal sebanyak RM220 juta atau 101.04 peratus.

BMS merupakan program tahunan PTPTN sejak 2018 bagi memupuk budaya menabung dan mempromosikan Simpan SSPN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan hari ini berkata, pencapaipan itu membuktikan program berimpak tinggi seperti BMS 2025 dapat menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.

“BMS 2025 akan berakhir pada esok hari. PTPTN kekal optimis jumlah kutipan deposit sempena BMS 2025 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi yang lebih membanggakan,” katanya.

BMS 2025 diadakan dari 26 September hingga 2 November bersempena Hari Tabungan Sedunia.

Ia bertemakan Pengembaraan (Adventures) dengan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda”, melambangkan pendidikan sebagai perjalanan penuh cabaran serta simpanan sebagai tanda kasih dan harapan untuk masa depan anak-anak.

Terdahulu, Norliza menyempurnakan Majlis Penutup BMS 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kanan) dan Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif
PTPTN (tiga dari kanan) bergambar sambil memegang tabung edisi
khas Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan mewarna, Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Jenga Family Competition, Memory Challenge, Kotak Misteri, Kuiz Online dan Sembang BMS serta peluang mendapatkan tabung edisi khas dan cenderahati eksklusif melalui penabungan Simpan SSPN di kaunter PTPTN.

Dalam majlis sama, PTPTN bekerjasama Bank Islam bagi melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN yang menawarkan pulangan tunai bagi setiap transaksi dan boleh diintergrasikan dengan akaun SSPN Prime untuk kemudahan urus niaga.

Menurut Norliza, PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menabung bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan dan yakin visinya sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara dapat dicapai dengan sokongan rakyat.

Maklumat lanjut Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast