Datuk Ramlan Awang Ali (kanan) dan Datuk Mohd Fuad Bee Basrah (kiri) bergambar selepas majlis pembentangan Penambahbaikan Tatakelola oleh SPRM Sabah pada Jumaat lalu.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membentangkan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memperkukuh pengurusan agihan zakat di negeri itu.

Cadangan termasuk penambahbaikan terhadap Perkara 5.3.1 dan 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan istilah “individu” kepada kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah, manakala “organisasi” merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.

Selain itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah turut mengesyorkan agar bahagian yang terlibat secara langsung, temasuk kakitangan yang mengurus pungutan, agihan, serta kewangan zakat, dimasukkan dalam manual prosedur berkenaan.

Mohd Fuad turut mencadang dan menekankan keperluan menetapkan had nilai yang munasabah bagi sebarang perbelanjaan atau urusan, hendaklah mendapat pertimbangan Majlis Tertinggi MUIS terlebih dahulu.

“SPRM Sabah telah mengenal pasti sembilan syor penambahbaikan tatakelola dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan agihan wang zakat bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali, menyambut baik cadangan berkenaan dan memberi komitmen untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memperkukuh sistem pengurusan zakat.

“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana telah membantu MUIS dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan,” katanya selepas menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang diadakan di pejabat MUIS pada Jumaat lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast