Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin Damai, di sini hampir rosak selepas terbengkalai sejak tahun 2018.

KUANTAN – Sebanyak 128 unit rumah Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin Damai, di sini hampir rosak selepas terbengkalai sejak tahun 2018.

Ttinjauan MalaysiaGazette ke lokasi mendapati, terdapat rekahan di bahagian dalam pada kediaman yang hampir siap itu, selain menjadi mangsa vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 

Kesan vandalisme dikesan di salah satu unit rumah PAKR Bukit Rangin Damai

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang turut meninjau keadaan unit PAKR lima blok terbengkalai itu memberitahu, projek itu dimulakan pada tahun 2016.

“Saya sebelum ini sudah membangkitkan isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kerajaan negeri segerakan proses pembangunannya, tapi masih tiada apa-apa perubahan yang dibuat. Ini satu kerugian.

“Projek ini sebenarnya sudah hampir siap. Kalau kita tengok, tinggal  pintu dan tingkap sahaja belum siap,” katanya.

Tambah Mohd Tarmizi, projek PAKR yang terbengkalai itu merugikan banyak pihak terutamanya rakyat yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah.

Dalam masa sama, beliau turut mendedahkan menerima aduan dan rungutan sebahagian besar penduduk di kawasan perumahan berhampiran mengenai gejala sosial dan tidak bermoral berlaku di kawasan terbiar itu.

“Kalau rumah ini dibiarkan begini, rungutan daripada penduduk tempatan pula adalah terdapat aktiviti yang tidak baik di kawasan ini seperti curi kabel, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Ini membahayakan sebahagian besar penduduk di perumahan di Bukit Rangin Damai ni. Jadi, bukan sahaja terbengkalai, tapi ia berikan kesan buruk kepada persekitaran dan masalah sosial kepada penduduk,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya menunjukkan kabel elektrik yang telah dicuri di unit rumah PAKR Bukit Rangin Damai

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri atau mana-mana pihak bertanggungjawab agar mencari penyelesaian agar pembangunan projek terbabit dapat disegerakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast