KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,521 kandungan jelik atau jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan penyedia perkhidmatan media sosial dari pelbagai platform digital antara 1 Januari 2022 sehingga 15 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 96 peratus atau 1,456 kandungan telah diturunkan penyedia platform berdasarkan garis panduan komuniti dan aplikasi undang-undang tempatan yang relevan.
“Langkah itu bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, terutamanya kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866.
“Akta ini akan memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan yang dilesenkan dalam menguruskan kemudaratan dalam talian.
“Dalam instrumen-instrumen subsidiari yang sedang digubal, MCMC sedang mengkaji kebolehlaksanaan kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna secara praktikal di platform dalam talian.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan mudarat terutamanya bagi pengguna kanak-kanak serta mencegah penipuan dalam talian,” katanya.
Sementara itu, kata Fahmi, sebanyak 2,881 kandungan bersifat lucah telah diturunkan penyedia perkhidmatan media sosial dari pelbagai platform digital dalam tempoh sama.
“Dari jumlah itu, sebanyak 88 peratus atau 2,535 kandungan telah diturunkan. Bagi tempoh sama, sebanyak 4,070 laman sesawang bersifat lucah telah disekat oleh penyedia platform berikutan permohonan MCMC,” katanya.
Selain itu, katanya, Kementerian Komunikasi melalui MCMC juga melaksanakan koordinasi dan kolaborasi rapat bersama PDRM menerusi platform strategik Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM–MCMC.
“Platform ini membolehkan kedua-dua pihak bertindak balas secara pantas dan efektif terhadap insiden jenayah dalam talian dengan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tersusun.
“MCMC juga turut bekerjasama dalam operasi bersama PDRM untuk membanteras kesalahan berkaitan bahan lucah seperti Ops Pedo pada tahun 2024 dan Ops Pedo 2.0 pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















