Farah bersama rakyat Afghanistan dalam misi kebajikan sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Childrity, Farah Lee akan berangkat ke Afghanistan malam ini bagi melaksanakan misi kemanusiaan pasca gempa bumi yang melanda wilayah Kunar baru-baru ini.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 itu telah mengorbankan lebih 2,200 nyawa, mencederakan lebih 3,600 orang dan menjejaskan lebih 450,000 penduduk di wilayah Kunar dan Nangarhar.

Kebanyakan rumah di kawasan terjejas musnah atau rosak teruk menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal dan bekalan asas.

Misi yang diketuai Farah itu akan menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk melawat pembinaan rumah di bawah projek MyKampung dan menyediakan bantuan persediaan menghadapi musim sejuk.

Menurut kenyataan Childrity, keputusan untuk ke Afghanistan dibuat selepas Farah menyedari bencana tersebut kurang mendapat perhatian antarabangsa susulan tumpuan dunia ketika itu lebih terarah kepada krisis di Gaza.

Farah bersama rakyat Afghanistan dalam misi kebajikan sebelum ini.

“Dalam perjuangan kemanusiaan, setiap nyawa adalah penting dan tidak harus diabaikan hanya kerana dunia sedang menumpu kepada satu krisis lain,” ujar Farah.

Childrity turut menegaskan perjuangan kemanusiaan tidak terhenti di mana-mana negara dan organisasi itu akan terus membawa suara serta bantuan rakyat Malaysia ke wilayah yang memerlukan.

Orang ramai diseru untuk terus berdoa, memberi sokongan moral dan menyalurkan sumbangan bagi memastikan misi ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan berkesan melalui akaun Maybank: 5622 6361 3919 (Pertubuhan Kebajikan FL – Childrity) atau layari www.childrity.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast