KUALA LUMPUR – Bilangan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat 12.7 peratus kepada 9,624 kes pada 2024.
Kanak-kanak perempuan mencatatkan 6,031 kes, manakala peningkatan dalam kalangan kanak-kanak lelaki lebih tinggi iaitu 15.2 peratus berbanding 11.3 peratus bagi perempuan.
Manakala bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah menurun 4.2 peratus kepada 2,627 kes.
Kanak-kanak bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 82.2 peratus, diikuti Cina (9.0%), India (4.9%) dan lain-lain (4.1%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, dari aspek kesihatan, liputan imunisasi bayi menunjukkan penurunan pada tahun 2024 bagi kelima-lima jenis imuninasi utama.
Liputan bagi Polio, Difteria, Tetanus & Pertusis (DTP), Haemophilus Influenzae Type B (HIB) dan Hepatitis B masing-masing menurun 6.1 mata peratus, manakala Bacillus Calmette-Guerin (BCG) menurun 0.3 mata peratus.
Bilangan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar (Taska) pula meningkat 1.4 peratus kepada 3,198 buah pada 2024.
Johor mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 29.4 peratus, manakala Putrajaya mencatatkan penurunan terbesar iaitu 21.0 peratus.
Enrolmen murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menurun 0.2 peratus, dengan penurunan 3.0 peratus di peringkat menengah atas dan sekolah swasta juga menurun iaitu 0.3 peratus, terutamanya disebabkan penurunan 3.4 peratus di peringkat tadika.
Menurut beliau, berdasarkan anggaran penduduk tahun 2025, jumlah kanak-kanak berumur bawah 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.03 juta orang, iaitu 26.4 peratus daripada jumlah penduduk 34.23 juta.
Daripada jumlah ini, 4.66 juta adalah lelaki dan 4.37 juta adalah perempuan manakala kanak-kanak berumur bawah lima tahun pula berjumlah 2.31 juta orang.
Mohd Uzir berkata, Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak bawah 18 tahun (39.9%), diikuti Kelantan (33.5%) dan Terengganu (32.9%).
Dari segi bilangan, Selangor mencatatkan jumlah kanak-kanak tertinggi iaitu 1.81 juta orang, manakala Labuan mencatatkan jumlah terendah
iaitu 0.03 juta orang. – MalaysiaGazette















