Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) meminta agar semua elemen berkaitan kematian murid Tahun Empat, Allahyarham Zhafran Muhammad Hafizudin disiasat secara menyeluruh.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, ketika ini kes berkenaan masih berada dalam siasatan pihak polis.

“KPM mengambil perhatian penuh kenyataan keluarga anakanda Allahyarham Iman Zhafran hari ini berkaitan kejadian kemalangan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada bulan lalu.

“Tindakan tegas perlu diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham Iman Zhafran,” kata KPM.

Allahyarham Iman Zhafran meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah rendah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu.

Selepas lebih sebulan, keluarga allahyarham hari ini, menuntut pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Media melaporkan, Peguam keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra berkata, desakan itu dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, sehingga hari ini, keluarga hanya menerima maklumat daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat dan tiada penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa lain. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast