KUALA LUMPUR – Program MyKiosk yang sepatutnya menjadi ‘talian hayat’ buat peniaga kecil kini terbongkar sebagai lubuk pembaziran dan kelemahan pengurusan.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, biarpun hasrat program ini amat baik untuk membantu rakyat menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi tempatan, namun pelbagai masalah pelaksanaan dilaporkan berlaku sehingga menjejaskan keberkesanan sebenar program tersebut.

“Antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk kekangan modal dan pembiayaan di mana bantuan kewangan yang disediakan tidak mencukupi untuk menampung kos operasi sebenar.

“Kelemahan latihan dan kemahiran keusahawanan juga dilihat telah menyebabkan ramai peserta tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan cabaran digitalisasi.

“Bukan hanya itu, masalah lokasi yang tidak strategik dan ketiadaan kemudahan asas juga menyebabkan banyak tapak projek dibiarkan kosong, menjadi tugu peringatan kepada pembaziran yang terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pembaziran sumber dan peruntukan juga semakin membimbangkan dan berharap beberapa Langkah drastik perlu dilaksanakan untuk menangani masalah ini.

“Setiap sen wang rakyat perlu digunakan secara berhemah dan memberi pulangan kepada ekonomi rakyat bawahan.

“Kerajaan perlu segera melaksanakan audit menyeluruh terhadap keberkesanan program MyKiosk di setiap negeri.

“Kerajaan perlu menambah baik mekanisme pemantauan dan pelaporan agar setiap kiosk yang dibangunkan dapat beroperasi secara produktif,” katanya.

Tambahan beliau, kerajaan perlu menilai semula lokasi dan strategi latihan supaya program ini benar-benar menyokong pembangunan keusahawanan mikro.

“Paling penting, kerajaan perlu tingkatkan ketelusan dan penyelarasan antara negeri bagi memastikan manfaat program disalurkan secara adil dan seragam.

“Program MyKiosk sepatutnya menjadi pemangkin kepada ekonomi rakyat kecil, bukan sekadar projek simbolik yang menambah beban kewangan kerajaan,” katanya.

Katanya, kejayaan program ini mesti diukur melalui keberhasilan sebenar di lapangan iaitu jumlah peniaga yang berjaya berdikari dan mampu berkembang, bukannya bilangan kios yang dibina semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast