KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang penyanyi dan pengarah filem kontoversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee telah ditahan dan didakwa atas dua pertuduhan melibatkan dadah.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Fadil Marsus, suspek berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di dalam sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur pukul 4.30 petang pada 22 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel tersebut telah menjumpai sembilan biji pil berwarna biru disyaki Pil Ectasy, anggaran berat 5.12 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, ujian saringan awal urin telah dibuat kepada suspek dan didapati beliau positif dadah jenis Amp/Meth/Ketamin/THC dan telah direman selama dua hari mengikut perintah mahkamah.
Pada 24 Oktober 2025, Namewee telah dituduh di mahkamah atas dua pertuduhan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 39A(1) kerana memiliki dadah, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah.
Walaupun begitu, suspek tidak mengaku salah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan dibenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.
Tarikh sebutan mahkamah terhadap suspek yang seterusnya adalah pada 18 Disember 2025 akan datang. – MalaysiaGazette















