Majid menunjukkan bangkai ikan yang mati akibat pencemaran di ulu Sungai Johor, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Pencemaran di sepanjang hilir Sungai Johor di sini mengakibatkan pendapatan nelayan berhampiran terjejas sejak Jumaat hingga kini.

Pencemaran tersebut menyebabkan lebih satu tan ikan melibatkan pelbagai jenis ditemui mati terapung termasuk ikan peliharaan yang dipelihara dalam sangkar sungai berkenaan.

Tinjauan di ulu Sungai Johor yang terletak di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini mendapati air sungai masih lagi keruh berwarna seakan putih susu.

Sepanjang perjalanan menaiki bot ke hilir Sungai Johor pula mendapati bangkai pelbagai jenis ikan hanyut dan berbau busuk antaranya ikan lampam, kelabau, patin dan jelawat.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Sayong Pinang, Majid Jantan berkata, majoriti penduduk menjadikan sungai sebagai sumber mata pencarian mereka.

“Mereka bekerja sebagai nelayan sebagai sumber mata pencarian mereka. Sebelum ini dalam sehari kebanyakkam nelayan mampu meraih pendapatan hasil tangkapan ikan sekitar RM300.

“Sudah tiga hari kami semua tidak dapat bekerja, air sungai jadi putih seperti ini. Ikan banyak mati. Di hilir Sungai Johor boleh nampak semua ikan timbul dengan bau busuk,” katanya ketika ditemui.

Dia mendakwa, pencemaran itu paling teruk setakat ini yang mana sebelum ini pencemaran berlaku dalam masa dua atau tiga hari sahaja.

Namun ujarnya, keadaan pencemaran kali ini dijangka ambil masa lebih lama untuk pulih berdasarkan keadaan airnya dan masalah itu dikatakan akibat pencemaran dari kolam di sebuah tapak perlombongan berhampiran yang pecah, Jumaat lalu.

“Masalah pelombongan punya empangan pecah. Tiba-tiba pagi kami semua lihat ikan yang disimpan dalam sangkar semua mati, ikan liar dalam sungai pun mati.

“Saya harap pihak bertanggungjawab boleh memberikan pampasan kepada kami para nelayan, sebab mata pencarian kami memang di sungai ini. Sangat terkesan sekali,” katanya.

Nelayan, Mazuri Mat, 39, melahirkan rasa terkilan kerana ikan yang diletakkan dalam sangkar di sungai tersebut, yang sepatutnya dijual telah mati.

Katanya, hasil sungai seperti patin, jelawat dan udang harimau mempunyai harga pasaran yang tinggi.

“Saya mempunyai empat anak yang mana tiga daripadanya masih lagi bersekolah. Setiap hari saya akan turun ke sungai menjala dan memukat ikan untuk mencari rezeki.

“Kelmarin dan semalam saya sendiri melihat kesan pencemaran, banyak ikan timbul tersangkut di dahan kayu dan hanyut dibawa arus. Ikan besar dan kecil banyak yang mati seolah-olah macam kena tuba.

“Saya minta pihak yang berkenaan menyebabkan pencemaran ini segera bertindak, kami sangat terkesan, kami mohon diberi pampasan yang setimpal dengan mata pencarian kami selama ini,” katanya.

Jumaat lalu, pencemaran di hulu Sungai Johor disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh,l dalam kenyataan dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Katanya, kerajaan negeri telah mengambil langkah segera dengan meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.

Insiden itu turut berisiko menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) termasuk LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB Singapura yang boleh menyebabkan gangguan sementara bekalan air di beberapa kawasan di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.

Pemantauan sedang giat dijalankan oleh Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ bagi memastikan keadaan kembali pulih.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast