PUTRAJAYA – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Malaysia dan Amerika Syarikat didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, perjanjian tersebut secara tidak langsung telah menggadaikan kedaulatan negara serta menjejaskan kebebasan Malaysia untuk membuat keputusan secara bebas.
“Inilah yang dilakukan oleh Anwar dan ini bertentangan dengan Perlembagaan. Dia tak berhak menggadaikan negara kita ini,” katanya.
Mahathir berkata demikian pada sidang media meja bulat berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Amerika Syarikat dan Malaysia bersama parti-parti politik serta NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menjelaskan ART 2025 yang ditandatangani antara Malaysia dengan AS mempunyai klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah.
Malah Anwar berkata, ia menjadi perkara yang ditekankan secara serius oleh Jemaah Menteri.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, sebarang tindakan atau perjanjian yang bercanggah dengan Perlembagaan perlu terlebih dahulu dibawa ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen.
“Kalau nak buat tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan, dia patut bawa perkara ini ke Dewan Rakyat untuk mendapat dua pertiga persetujuan daripada Ahli Dewan Rakyat, tetapi dia tidak berbuat semacam,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, langkah yang diambil kerajaan di bawah pimpinan Anwar itu jelas melanggar beberapa peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang dilakukan oleh Anwar bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan kita, banyak peruntukan termasuk 153 dan beberapa peruntukan yang lain,” ujarnya.
Beliau menambah, dengan termeterainya perjanjian tersebut, Malaysia berisiko kehilangan hak dan kebebasan sebagai sebuah negara berdaulat.
“Jadi oleh kerana dengan perjanjian ini kita hilang negara kita, kebebasan negara kita, kita semua bersetuju menolak perjanjian ini dan kita akan berusaha supaya perjanjian ini dapat dibatalkan,” katanya.
Dalam sidang media sama, Dr. Mahathir dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik membuat 12 resolusi bersama bagi menolak perjanjian berkenaan.
Antaranya menegaskan bahawa ‘exit clause’ yang dinyatakan Anwar adalah salah satu penipuan yang tidak akan dapat menyelamatkan negara daripada perangkap perjanjian tersebut.
“Satu-satunya ‘exit clause’ yang ada sekarang adalah untuk Anwar dan Kabinetnya bertanggungjawab dan meletakkan jawatan,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette
















