Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh mengenakan lesen mahupun mengharamkan aplikasi permainan dalam talian seperti Roblox, namun tanpa pemantauan ibu bapa di rumah tidak boleh menjamin keselamatan anak-anak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana peranti atau telefon pintar bukan pengasuh yang boleh menggantikan peranan ibu bapa di rumah.

“Saya nak tekankan, kerajaan boleh mengenakan lesen, boleh mengharamkan tapi kita sebagai ibu bapa juga ada peranan.

“Peranti bukan pengasuh, peranti bukan pengganti ibu bapa, jadi kepada ahli-ahli Yang Berhormat, yang ada anak-anak, luangkan masa, tengok apa yang dia tengok, main apa yang mereka main.

“Saya bercakap dengan Timbalan Menteri dan beliau sebelum ini tidak tahu apa yang dimainkan oleh anak beliau dalam permainan Roblox, bila saya sebut anak saya diharamkan, dia pula yang marah.

“Bila saya minta Timbalan Menteri menelurusi permainan itu, baru dia tahu apa terkandung di dalamnya,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2026 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor.

Siasatan awal polis mendapati, suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point) selepas mangsa merosakkan telefon bimbitnya.

Fahmi berkata, beliau mengharamkan anaknya bermain Roblox untuk memastikan generasi muda itu menjadi “manusia”.

“Sebagai seorang bapa, bila anak saya terlalu leka (Roblox), pembelajaran dia terkesan, bila dipanggil makan, kadang-kala tak datang.

“Sebagai seorang anak 12 tahun, sewajarnya dia bermain dengan kawan-kawan di luar.

“Keputusan yang saya sendiri buat sebagai seorang bapa untuk memastikan anak saya boleh menjadi seorang manusia seperti Yang Berhormat Bangi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast