KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin memuji kesungguhan dan keberanian anak muda di negara ini yang terus mahu memajukan diri termasuk dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata, kesungguhan itu dapat dilihat khususnya berani meneroka bidang-bidang baharu yang berisiko tinggi seperti teknologi kripto (crypto) dan aset digital.
“Semangat untuk keluar daripada zon selesa dan menceburi arena digital global merupakan aset negara yang perlu disokong sepenuhnya.
“Saya menekankan bahawa komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan modal insan muda terserlah dalam Belanjawan 2026 yang menyaksikan tumpuan besar diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan kerjaya masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian menerusi program podcast MG dengan tajuk ‘Dilema Anak Muda: Subsidi VS Modal Bisnes’.
Jelas beliau, jumlah peruntukan pembangunan belia dalam sektor digital diagihkan melalui pelbagai kementerian dan agensi, kerajaan juga memastikan tambahan peruntukan yang signifikan dengan jumlah keseluruhan melebihi puluhan bilion ringgit.
“Ini termasuk pinjaman dan pembiayaan untuk TVET, Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor, dan teknologi digital. Kami lihat anak muda hari ini pantas mengadaptasi perubahan. Mereka tidak takut untuk bercakap seperti contoh kripto.
“Kalaulah mereka ini cerita mengenai ini (kripto) kepada mak ayah, saya rasa ramai mak aayah yang tak tahu mengenai teknologi ini.
“Ini menunjukkan keupayaan mereka untuk menjadi pemain global,” katanya.
Beliau turut menyeru agensi-agensi kerajaan untuk tidak bergerak secara sendirian.
“Semua agensi perlu saling bekerjasama sama untuk membantu anak muida kita. Semua pihak perlu sentiasa peka terhadap trend teknologi terkini dan menyediakan kerangka sokongan untuk memudahkan anak muda memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital,” jelasnya.
Dalam pada sama, beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan setiap anak muda mempunyai akses kepada latihan dan peluang pekerjaan berkualiti.
“Ini termasuklah peruntukan untuk meningkatkan ekosistem digital dan TVET negara agar setanding dengan piawaian antarabangsa.
“Kesungguhan anak muda untuk majukan diri adalah nadi kepada kejayaan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.
“Kerajaan akan terus menjadi pemudah cara utama dalam perjalanan ini,” katanya . – MalaysiaGazette
















