Penguat kuasa JAINJ menahan tiga lelaki yang mengutip derma depan sebuah bank di Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Mahkamah Syariah, di sini, menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM2,000 setiap seorang terhadap tiga lelaki selepas didapati bersalah memungut derma tanpa kebenaran di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memberitahu, ketiga-tiga tertuduh yang berusia 20-an dan 30-an ditahan sepasukan penguat kuasa JAINJ antara pukul 5 petang hingga 6.30 petang depan sebuah bank di bandar ini dan Bandar Penawar.

“Dalam operasi ini, penguat kuasa turut menyita tiga tabung berisi wang tunai berjumlah keseluruhan RM261.90.

“Kumpulan tersebut menggunakan alasan kononnya kutipan dibuat bagi tujuan pembangunan anak yatim, pembinaan masjid dan asrama anak yatim di sebuah negeri luar Johor, selain menunjukkan beberapa surat sokongan dan gambar bagi meyakinkan orang ramai,” menurutnya dalam kenyataan.

JAINJ memaklumkan, hasil siasatan mendapati dokumen berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kebenaran mengutip derma di negeri ini.

“Mereka bergerak secara berkumpulan menaiki kereta dan menjadikan sebuah masjid di Johor Bahru sebagai tempat bermalam. Beberapa individu lain dipercayai ahli kumpulan sama sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa,” jelas kenyataan itu.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara terhadap setiap tertuduh.

Dalam pada itu, JAINJ menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang memohon derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Zaman teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sekarang ini, surat dan tandatangan pun boleh ditiru seperti asal. Jangan cepat percaya,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kejayaan tangkapan tersebut merupakan hasil kerjasama erat penghulu dan ketua kampung di seluruh daerah Kota Tinggi, selepas satu pertemuan diadakan bersama pihak penguat kuasa minggu lalu.

JAINJ turut menasihati mana-mana pertubuhan anak yatim atau jawatankuasa masjid yang ingin mendapatkan sumbangan supaya membuat permohonan rasmi melalui Pejabat Kadi Daerah untuk disemak dan diluluskan oleh MAINJ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Perkara seumpama terlalu banyak berlaku di KUALA LUMPUR..Apakah pihak berkuasa tidur atau tidak bersungguh mengambil tindakan…siapa sebenar badan yg berkuasa. kehadiran mereka bukan saja dibank bank, malah turut menjadikan stesyen minyak, pusat beli belah dan persimpangan trafik light.

Comments are closed.