Seorang peniaga durian maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat empat tempat letak kereta Plaza Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka, 12.40 tengah hari tadi.

MELAKA – Seorang peniaga durian maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat empat tempat letak kereta Plaza Melaka Raya, Banda Hilir di sini tengah hari tadi.

Lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditemukan tidak bernyawa di atas jalan raya kira-kira jam 12.40 tengah hari oleh orang awam dipercayai akibat tertekan dengan perniagaannya yang merosot sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, sebelum kejadian mangsa yang menjalankan perniagaan menjual durian di kawasan Bukit Cina, keluar makan bersama teman wanitanya, di sebuah restoran di Kota Laksamana.

“Menurut kekasihnya, sejak tiga hingga empat hari lalu mangsa sering mengadu sedih dan tertekan selepas perniagaan duriannya merosot.

“Ketika itu teman lelakinya tidak menjamah hidangan sebaliknya hanya membungkus makanan dan membawa kekasihnya menaiki pacuan empat roda miliknya ke Plaza Melaka Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata, pemuda itu kemudian dikatakan berhenti di tempat letak kereta di tingkat empat plaza dan beritahu hendak buang air kecil.

“Mangsa kemudian dikatakan tiba-tiba berlari dan jatuh dari tingkat empat dan tidak sempat diselamatkan kekasihnya itu.

“Peniaga berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan Hospital Melaka manakala siasatan polis tidak menemukan unsur jenayah,” katanya.

Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.