KUALA LUMPUR – Perjanjian perdagangan timbal balas (ART) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dipuji tinggi oleh kerajaan didakwa gagal mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham negara.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang membuat dakwaan itu berkata, hanya dalam tempoh seminggu lalu, sebanyak RM884 juta dana asing dilaporkan keluar daripada Bursa Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan aliran keluar dari Januari hingga Oktober tahun ini mencecah RM19.2 bilion.
“Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara, jumlah kumulatif dana asing yang keluar telah mencapai RM75 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic berkata, kerajaan tidak boleh terus menafikan keadaan sebenar kerana pengunduran pelabur asing memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Walaupun kerajaan cuba menafikan keadaan sebenar, hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah apabila pelabur asing terus menarik diri, pasaran akan menjadi perlahan, harga saham jatuh, dan nilai ringgit semakin merosot,” tegasnya.
Beliau turut menyindir penyokong kerajaan yang menolak pandangan bahawa prestasi pasaran saham mencerminkan keadaan ekonomi sebenar negara.
“Namun setiap kali pasaran saham meningkat, para pemimpin Pakatan Harapan pula berlumba-lumba tampil memuji kononnya hasil kejayaan mereka,” katanya sinis.
Dominic turut mengingatkan Bank Negara Malaysia pada awal tahun lalu telah memberi pelbagai penjelasan bagi mempertahankan pengunduran dana asing serta menjangkakan aliran pelaburan akan kembali pada pertengahan tahun.
“Namun realitinya, dana asing terus keluar tanpa henti dan Perdana Menteri masih gagal mencari jalan penyelesaian. Ini amat mengecewakan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kemasukan dana asing ke dalam pasaran saham Malaysia adalah petunjuk jelas kestabilan dasar kerajaan serta tahap kepercayaan global terhadap politik dan ekonomi negara.
“Sebaliknya, aliran keluar dana asing yang berterusan merupakan amaran besar terhadap ekonomi negara. Pelabur asing memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran saham Malaysia kekal sihat, kompetitif dan bernilai.
“Tahun ini sahaja, dana asing yang keluar telah mencecah RM19.2 bilion — satu tanda amaran yang tidak boleh diabaikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















