JOHOR BAHRU – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) akan melakukan pemantauan lanjut dan menilai kesan gempa bumi susulan gegaran terbaharu di Segamat malam tadi.

JMG dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama itu melibatkan pemantauan lanjut aktiviti seismik dan geologi tempatan, termasuk penilaian terhadap struktur bawah permukaan, taburan rekahan batuan dan kesan terhadap kestabilan cerun atau tapak bina.

Jelas JMG, gempa bumi terbaharu di Jementah, Segamat pukul 7.55 malam tadi adalah lemah iaitu 2.7 pada skala Richter.

“Hasil semakan melalui Peta Geologi Malaysia (MyGEMS-JMG) menunjukkan kawasan kejadian terletak dalam unit Tertier (Tertiary Geological Lithostratigraphic Unit) yang terdiri daripada lava aliran (extrusive lavaflows) serta endapan cekungan benua berusia Tertier lewat yang mengandungi batu syal, batu pasir, konglomerat dan lapisan arang minor.

“Ciri-ciri geologi ini menunjukkan sejarah aktiviti gunung berapi purba di kawasan Segamat, khususnya di sekitar Jementah dan Batu Badak yang kini dikenal pasti sebagai volkanik terubahsuai (altered volcanics),” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan, kejadian terbaharu itu bukan yang pertama direkodkan di kawasan berkenaan.

Jelas kenyataan itu lagi, berdasarkan rekod JMG dan MetMalaysia, gempa berskala 4.1 pernah dikesan berhampiran lokasi yang sama sebelum ini.

Kedua-dua kejadian itu menurut JMG, berpusat di sekitar zon volkanik Tertier Segamat yang memperlihatkan potensi pengaktifan semula tekanan tektonik setempat pada batuan dasar lama akibat penyesuaian semula tekanan kerak bumi.

“Kedudukan pusat gempa terkini ini adalah hampir bertepatan dengan kejadian gempa berskala 4.1 yang pernah direkodkan sebelum ini, menandakan kemungkinan aktiviti seismik mikro berulang di sepanjang jalur sesar yang sama.

“Gempa bumi lemah ini diklasifikasikan sebagai gempa cetek setempat (local shallow earthquake) dan tidak menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan awam atau struktur.

“Bagaimanapun, gegaran dapat dirasai di sekitar Segamat dan kawasan berhampiran.

“Orang ramai dinasihatkan tidak panik dan boleh melaporkan sebarang kesan gegaran melalui MetMalaysia,” tambah kenyataan tersebut.

Orang awam dan pihak berkepentingan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut serta paparan lokasi gempa secara interaktif melalui: Peta Interaktif Gempa Segamat @ MyGEMS (JMG).

Gegaran terbaharu di Jementah itu turut dirasai di beberapa kawasan lain dalam Segamat antaranya Kampung Pogoh Tengah, Taman Yayasan, Jalan Seberang Batu Badak, Kampung Gudang Garam, Gemereh.

Selain itu, gegaran juga dirasai Kampung Paya Dalam, Kampung Tasek, Kampung Gubah, Taman Berjaya Buloh Kasap, Kampung Pogoh dan Paya Pulai.

Sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitar telah merekodkan lebih lima gegaran, antaranya berukuran 4.1 magnitud (24Ogos), 3.2 magnitud (27 Ogos), 2.5 magnitud (28 Ogos), 3.4 magnitud (29 Ogos).

Sementara di Batu Pahat pula dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan berlaku pada 30 dan 31 Ogos lalu dan terakhir 2.9 magnitud pada 3 September lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast