Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejak kerajaan memperkenalkan Program Penyasaran Subsidi RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), seramai 13.1 juta rakyat telah berjaya melaksanakan transaksi pembelian bahan api itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah membelanjakan RM2.6 bilion bagi RON95 bersubsidi dan ia melibatkan subsidi kira-kira RM800 juta.

“Purata jumlah liter yang digunakan penerima BUDI95 bagi Oktober pula sebanyak 98 liter, iaitu 33 peratus daripada kelayakan bulanan 300 liter ditetapkan.

“Hanya kurang 0.7 peratus sahaja penerima BUDI95 yang menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir Oktober 2025,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid meminta Perdana Menteri menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95.

Anwar juga berkata, pelaksanaan BUDI95 hasil daripada keprihatinan kerajaan yang tidak mengikut nasihat Bank Dunia supaya menaikkan harga RON95 kepada semua pengguna dan rakyat Malaysia dan bantuan tunai hanya diberikan kepada golongan tertentu.

“Kerajaan tidak bersetuju dan menggunakan pendekatan sekarang iaitu tidak menaikkan harga malah menurunkan harga minyak bagi rakyat.

“Alhamdulillah, selepas satu bulan pelaksanaan, secara umumnya kita telah lihat kejayaan yang membanggakan.

“Maklum balas pengguna amat baik kerana BUDI95 mudah dilaksanakan dan hanya melibatkan satu langkah tambahan iaitu pengesahan myKad, malah ada pilihan digital seperti aplikasi SETEL dan TNG e-wallet.

“Proses di stesen minyak juga lancar dan tiada masalah juga pada sistem dan capaian internet yang ketara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast