KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS) oleh Petronas bukan perkara baharu, bahkan ia dilakukan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, pentadbirannya hanya memasukkan senarai semua pembelian, rundingan dan keputusan lama itu ke dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Soal Petronas dan LNG telah dijelaskan sebenarnya. Ini bermula sudah lama termasuk semasa rakan-rakan dalam kerajaan, telah dirunding, telah ada import, jadi bukan perkara baharu.
“Cuma sekarang ini apa yang dilakukan ialah menyenaraikan semua yang lalu. Contohnya bila MAS beli Airbus dan Boeing, itu keputusan lama. Rundinganya sudah dua ke tiga tahun, tetapi dimeterai sebelum tarif ini,” katanya semasa sesi pentanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dalam soalan tambahannya meminta penjelasan mengenai sejauh mana LNG menjadi satu elemen dalam perjanjian ART memberi kesan kepada hasil negara.
Selain itu, Anwar menjelaskan, penyenaraian dalam ART sebagai hujah bagi memastikan AS mengenakan tarif baharu kepada rundingan dan pembelian lama dalam perjanjian dua hala itu.
“Tetapi soalnya mengapa dimasukkan ini semua? Kerana kita dalam hujah kita dengan Amerika Syarikat kita nak terangkan ini, jangan dia kena hal-hal yang baharu. Kita kata dah kita beli di Google.
“Jadi LNG ini saya tengok rekod dari 2018. Masa mantan Perdana Menteri, Ketua saudara-saudara sekarang lah. Itu sudah diadakan perjanjian, kemudian ditingkatkan, tahun demi tahun.
“Kita catat berdasarkan apa yang sedang diselenggarakan oleh kerajaan sekarang dan kerajaan terdahulu.
“Saya tegaskan sekali lagi Pendang, LNG ini diputuskan awal. Kita hanya mencatat kadar import yang meningkat keadaan sekarang. Keperluan sekarang. Itu dia dua hal yang mesti diberi penekanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















