JOHOR BAHRU – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor mengarahkan aktiviti perlombongan yang menjadi punca pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi sehingga 214,154 rumah terjejas bekalan air dan 150 nelayan hilang pendapatan dihentikan serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah tersebut bagi membolehkan membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Berdasarkan hasil siasatan dan nasihat agensi teknikal, PTG Johor mengeluarkan notis arahan untuk menghentikan aktiviti perlombongan serta-merta.
“Selain itu permit bahan batuan syarikat terbabit turut digantung sementara waktu bagi memberi ruang kepada proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 7A(1)(c) Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pada masa sama ujarnya, kerajaan negeri mengarahkan syarikat terlibat supaya menanggung kos kerja pemulihan serta langkah pembersihan yang diperlukan dan akan dikenakan tindakan kompaun mengikut enakmen yang wajar.
Beliau berkata, walaupun syarikat terlibat adalah entiti tempatan, tindakan dan penyelesaian akan diambil secara adil serta seimbang dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat Johor.
Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Mohamad Fazli dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.- MalaysiaGazette
















