BENTONG – Polis mengesahkan penemuan mayat wanita dalam keadaan reput di di sebuah ladang kelapa sawit, di Batu 19, Jalan Karak–Kuala Pilah, Telemong, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, identiti mayat wanita berkenaan masih belum dikenal pasti identitinya itu telah ditemukan di bawah longgokan pelepah daun kelapa sawit.
Menuruntnya Polis Bentong menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam lebih kurang 5 petang, pada Isnin lalu memaklumkan penemuan mayat tersebut.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mayat tersebut adalah seorang perempuan, namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bersama pasukan Forensik, Unit K9 dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk dibedah siasat pada hari ini.
Tambah Yahaya barangan dipercayai milik mangsa yang ditemui di lokasi ialah sehelai seluar sukan berwarna hijau, seutas jam tangan jenama Casio, sepasang selipar warna hitam serta baju sejuk berwarna hitam jenis ‘hoodie’.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.
Yahaya turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















