Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Siasatan polis terhadap ahli perniagaan Goh Hwan Hua masih dijalankan berhubung kes i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan kumpulan syarikat berkaitan, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menegaskan siasatan berhubung kes tersebut melibatkan transaksi komersial serta aliran wang yang kompleks.

“Buat masa ini, siasatan tersebut masih belum lengkap. Jabatan ini masih memantau dan meneliti kemajuan siasatan yang sedang dikendalikan,” kata AGC dalam kenyataan yang merujuk laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 1 November bertajuk “Release frozen funds, say investors who won RM8mil case against tycoon.”

Kata AGC, pihak penguatkuasa pada awalnya telah menyita harta syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat berkaitan berjumlah RM118.7 juta pada 11 November 2021 dan bukannya pada November 2023 seperti yang dilaporkan.

“Walau bagaimanapun, harta sitaan tersebut telah dilepaskan selepas syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat lain yang berkaitan dikenakan kompaun,” jelasnya.

AGC turut memaklumkan bahawa tindakan penyitaan harta berkaitan syarikat tersebut oleh PDRM telah dijalankan antara Oktober hingga Disember 2023 melibatkan nilai RM71.3 juta.

Namun, semua harta itu telah dilepaskan antara Oktober dan Disember 2024 selepas siasatan mendapati tiada bukti kukuh bahawa ia merupakan hasil daripada sesuatu kesalahan.

“Sehubungan itu, pada waktu ini tiada apa-apa lagi harta yang berkaitan syarikat i-Serve Online Mall Sdn Bhd yang masih dalam sitaan pihak penguat kuasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast