Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor.

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor memberi peringatan tegas kepada semua Ahli Parlimen supaya memastikan sesi perbahasan di Dewan Rakyat berjalan dengan lancar.

Ketika membuka persidangan sesi petang hari ini, Ramli berkata, beliau memantau perjalanan Dewan Rakyat pada sesi pagi tadi dan mendapati banyak berlaku gangguan yang disifatkan tidak perlu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua Ahli Parlimen mengambil maklum berkenaan Peraturan 7 (4) dan Peraturan 37 (2) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Jika Yang Berhormat melanggar arahan saya, saya akan terus membuat pertuduhan, jika jawapan itu tidak berpuas hati, saya akan jatuh hukum terus selepas mendapat penjelasan.

“Saya tak izinkan ‘mockery’ (ejekan) dalam Dewan (Rakyat) ini. Ingat ya, saya buat kerja, saya buat kerja, di luar kita boleh main-main,” katanya.

Terdahulu, sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belajawan) 2026 peringkat jawatankuasa pagi tadi kecoh dengan beberapa insiden perang mulut melibatkan ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Antaranya ketika sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mempersoalkan berkenaan kebebasan dan kewibawaan institusi Parlimen negara yang disifatkan gagal.

Dakwaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menyifatkannya sebagai biadab dan kurang sopan, sekali gus mendesak Shahidan menarik balik kenyataannya.

Terdahulu, sesi perbahasan pagi tadi juga sedikit tegang selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membangkitkan berkenaan isu dwi standard dalam tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pendakwaan kes rasuah.

Dalam isu itu, Teresa turut membandingkan pendakwaan kes rasuah melibatkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dan Ahli Parlimen Bagan yang juga Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, kenyataan Teresa itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan mengenai peraturan Dewan Rakyat bahawa perkara yang sedang dalam proses perbicaraan mahkamah tidak boleh dibangkitkan dalam perbahasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast