KUALA LUMPUR – Taktik sindiket menyimpan rokok dan arak seludup di gudang persendirian gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur merampas barangan bernilai lebih RM11 juta menerusi dua operasi berasingan.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, serbuan pertama dilakukan pada 19 Ogos di sebuah gudang di Taman Prima Tropika, Seri Kembangan dan berjaya menggagalkan sindiket pembekalan dan pengedaran minuman keras.
“JKDM Kuala Lumpur telah berjaya menggagalkan kegiatan sindiket pembekalan dan pengedaran minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam melalui serbuan.
“Minuman keras import pelbagai jenama yang tak berkastam dengan anggaran kuantiti sebanyak 5,787 liter melibatkan nilai dan cukai dianggarkan berjumlah RM921,769.00,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, tiga warga asing ditahan dan sebuah lori bermuatan lima tan yang disyaki digunakan sebagai kenderaan pembekalan turut disita.
Bagi kes kedua, kata Wan Norizan, seorang lelaki tempatan merupakan penjaga ditahan dalam serbuan gudang persendirian di Jalan Subang Permai, Shah Alam pada 29 September lalu.
Menurutnya, JKDM merampas 11,600,000 batang rokok putih import tanpa cukai dengan nilai RM2.32 juta dan duti serta cukai RM7.88 juta.
Tambah beliau, siasatan mendapati barangan bagi kedua-dua kes tersebut diedarkan di sekitar Lembah Klang.
“Modus operandi kes minuman keras adalah menjalankan pembungkusan semula dan pembekalan pukal di kawasan perindustrian dan pembinaan,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat kastam terdekat. -MalaysiaGazette
















