KUALA LUMPUR – Dua individu ditahan susulan kes penderaan membabitkan seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur lewat 40-an di Seri Kembangan dekat sini pada Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua suspek merupakan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia lingkungan lewat 50-an.
“Tangkapan ke atas kedua-dua suspek telah dibuat oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang susulan laporan yang diterima.
“Mereka telah dituduh pada 24 Oktober lalu di bawah Seksyen 13(a) Atipsom 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerdagangan orang dengan cara ancaman di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shazeli, ketika ini, pihaknya masih menunggu sebutan semula kes dan mangsa kini diberi perlindungan melalui perintah perlindungan interim di bawah Seksyen 44 (2) Atipsom 2007.
“PDRM sentiasa memberi perhatian serius bagi kes-kes yang melibatkan penderaan serta bersifat pemerdagangan orang yang melibatkan pekerja warganegara asing di Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















