Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn bergambar selepas Majlis Perasmian Penutup Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 di Zepp, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan komitmen baharu untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memacu ekosistem inovasi dan keusahawanan ASEAN ke peringkat global.

Persidangan tiga hari anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya Cradle Fund Sdn Bhd dengan kerjasama Alliance Bank sebagai penaja utama telah berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari seluruh ASEAN dan dunia.

Ia termasuk wakil kerajaan, pelabur, pengasas startup dan pembangun ekosistem.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, bersama Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Bertemakan Scaling Startups Beyond Borders, ia merupakan persidangan teknologi ASEAN pertama di bawah Pengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini serta antara Projek Ekonomi Dikenalpasti (PED) utama negara bagi mengangkat kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekosistem inovasi serantau.

Lih Kang berkata, persidangan itu menjadi langkah penting menyelaras dasar, pelaburan dan bakat bagi memastikan tiada negara atau inovator yang tertinggal dalam pembangunan startup serantau.

“Malaysia melalui MOSTI dan Cradle akan terus bekerjasama dengan rakan sejawat ASEAN dan sektor swasta bagi memastikan Startup ASEAN berkembang sebagai gerakan serantau yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Antara pameran robot yang berteknologi tinggi pada Majlis Perasmian Penutup Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 di Zepp, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2025.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, acara itu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemacu utama inovasi ASEAN.

“Platform ini menjadi pemangkin penyatuan pengasas, pelabur dan pembuat dasar dalam misi bersama memperluas inovasi rentas sempadan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam menegaskan komitmen bank tersebut memperkasakan startup dan perusahaan kecil sederhana (PKS) melalui pelancaran Innovation Impact Lab bersama Cradle dan Universiti Monash Malaysia.

“Sebagai The Bank For Life, kami menyokong startup dan PKS di setiap peringkat perjalanan mereka, membantu membina ekosistem masa depan yang berasaskan inovasi dan pertumbuhan mampan,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari, persidangan itu menampilkan sesi utama, pameran startup dan program jaringan termasuk Korea-ASEAN AI Youth Festa, Startup ASEAN x Infobip Shift (edisi Asia pertama), serta pameran startup serantau yang meraikan kisah kejayaan dan peluang kerjasama baharu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang melawat tapak pameran selepas hadir Majlis Perasmian Penutup Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 di Zepp, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2025.

Dua pencapaian utama turut direkodkan, pelancaran Impact Innovation Lab untuk menyokong startup berasaskan impak sosial dan alam sekitar serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle dan Kumpulan Sunway bagi memperkukuh perkongsian awam-swasta.

Acara itu turut disokong rakan ekosistem strategik termasuk Grab, PayNet, Sunway iLabs dan Sidec, yang memainkan peranan penting dalam memajukan inovasi dan keusahawanan di rantau ini.

MOSTI dalam kenyataannya berkata, fasa seterusnya kerjasama ASEAN akan tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan rangka kerja dasar bagi membolehkan idea dan inovasi berkembang tanpa sempadan, termasuk perancangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Digital ASEAN.

Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 menandakan kejayaan pelaksanaan salah satu PED Malaysia di bawah MOSTI dan Cradle memperkukuh komitmen negara untuk memajukan inovasi, memperkasakan startup serta meletakkan ASEAN sebagai blok inovasi global yang berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast