Kuala Lumpur — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengeluarkan amaran rasmi kepada Muslim Friendly Watch (MFW) yang mempromosi dan mengiktiraf Muslim Choice yang didakwa boleh mengelirukan pengguna Islam.
Mohd Naim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tiada pihak dengan sewenang-wenangnya menggunakan bentuk logo atau pengiktirafan berkaitan halal tanpa kawal selia pihak berkuasa agama yang sah.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim untuk segera mengeluarkan kenyataan amaran rasmi kepada pihak MFW agar menarik balik segala bentuk promosi dan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang boleh mengelirukan pengguna Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya pihak MFW gagal mematuhi amaran yang diberikan oleh Jakim, tindakan tegas akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau sebarang bentuk pengiktirafan yang mengelirukan.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangannya bersama Datuk Armizan Mohd Ali bagi memastikan integriti pensijilan halal di Malaysia terus terpelihara serta tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam. – MalaysiaGazette















