KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas melanggar dahan pokok yang tumbang atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa, Kizer Jaafar, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZRI seorang diri sedang menuju ke tempat kerjanya di Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 6.05 pagi melibatkan motosikal mangsa dan Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit terbabas setelah melanggar dahan pokok yang tumbang di atas jalan lalu tercampak di atas jalan raya.
“Mangsa kemudian dilanggar Perodua Viva yang tidak sempat mengelak. Dalam kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan polis dan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebarang maklumat berkenaan kejadian ujarnya, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Danial Syafiq Azahari di talian 016-8738498.
“Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama-sama semasa di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette
















