JOHOR BAHRU – Empat lagi laporan polis diterima semalam berhubung pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi yang menjejaskan bekalan air melibatkan 1.8 juta isi rumah dan pendapatan 150 nelayan terjejas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan tersebut diterima daripada pemilik lombong manakala tiga lagi penduduk kampung berdekatan.
“Ini menjadikan tujuh laporan polis sudah diterima setakat ini sejak 31 Oktober sehingga semalam. Tiga laporan polis sebelum ini dibuat syarikat pengendali air, Ranhill SAJ Sdn Bhd dan dua lagi daripada penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini
Jelasnya, siasatan terhadap kes pencemaran itu tidak dijalankan pihak polis sebaliknya dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pihak Ranhill SAJ katanya, difahamkan turut menjalankan siasatan sendiri dan peranan pihak polis lebih kepada pemantauan bagi memastikan tiada kejadian di luar jangkaan berlaku.
Ditanya sama ada syarikat terbabit yang melakukan aktiviti perlombongan secara sah, Ab Rahaman memberitahu, pihak terbabit beroperasi secara sah dan mempunyai permit daripada Pejabat Tanah dan Galian (PRG) Kota Tinggi.
Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor.- MalaysiaGazette
















