WASHINGTON – Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala lebih 11 individu cedera selepas sebuah pesawat kargo milik UPS terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville di Kentucky, mengakibatkan letupan dan kebakaran di kawasan berhampiran lapangan terbang itu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berkata, pesawat McDonnell Douglas MD-11 berlepas menuju Hawaii itu terhempas kira-kira pada jam 5.15 petang waktu tempatan.
Gabenor Kentucky, Andy Besher pada taklimat media menyatakan beliau menjangka angka korban dan cedera meningkat, dengan jumlah terkini hanya melibatkan mereka yang berada di daratan.
Menurut kenyataan UPS, tiga kru berada dalam pesawat dan ‘kami tidak mengesahkan sebarang kecederaan/kematian’.
Besher berkata, status ketiga-tiga kru itu tidak diketahui dan menambah beliau ‘sangat bimbang’ dengan nasib mereka.
Punca nahas sedang disiasat FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS.
Rakaman video yang disiarkan rangkaian WLKY memaparkan enjin kiri pesawat terbakar ketika ia berlepas.
Louisville merupakan hab penerbangan utama AS untuk UPS, menurut syarikat kargo itu.
Syarikat penghantaran bungkusan itu menawarkan perkhidmatan di lebih 200 buah negara dengan hampir 2,000 penerbangan sehari dengan menggunakan 516 pesawat.
UPS memiliki 294 pesawat dengan baki pesawat disewa menerusi pajakan tempoh pendek atau sewa khas.
Besher berkata, pesawat tersebut melanggar kemudahan kitar semula petroleum. – AFP
















