KUALA LUMPUR – Seramai 107,423 teknologis dan juruteknik merangkumi 24 bidang teknologi didaftarkan menerusi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) setakat bulan lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pihaknya turut memperluaskan skop pengiktirafan menerusi MBOT itu kepada bidang teknologi baharu muncul yang merentas pelbagai sektor.
Jelasnya, ia bagi memberi laluan formal kepada bakat berkemahiran teknikal dan teknologi untuk diiktiraf sebagai Teknologis Profesional (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).
Menurut beliau, MBOT memainkan peranan yang penting dalam agenda memperkasa bakat-bakat itu melalui pengiktirafan profesional di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768).
“Pengiktirafan MBOT melangkaui profesion yang berasaskan disiplin tetapi juga mengiktiraf profesion yang bersifat multi-disciplines dan cross-disciplines seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI).
“Seperti kita semua tahu, bidang-bidang terkini ini memerlukan pengetahuan dan kepakaran lebih dari satu bidang, hands-on serta bersifat aplikasi teknologi,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Lih Kang (PH-Tanjong Malim) menjawab soalan Datuk Larry Soon (PBM-Julau) berkenaan langkah serta usaha yang dilaksanakan MOSTI bagi membolehkan bakat-bakat dalam bidang teknologi baharu muncul (emerging technologies) seperti AI dan robotik diperkasakan.
Menurut Larry, ia supaya kerjaya itu turut diiktiraf setaraf dengan golongan profesional lain seperti profesion kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, MOSTI sentiasa berusaha memastikan pembangunan bakat dalam bidang teknologi baharu muncul (emerging technologies) seperti AI dan robotik, agar bakat-bakat itu dapat diangkat serta diiktiraf setaraf profesional lain seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya.
Jelasnya, dari aspek akreditasi program-program akademik, MBOT mempunyai kerangka khusus mengenai AI yang membolehkan institusi menawarkan program-program berkaitan.
Ujarnya, beberapa institusi pengajian tinggi kini menawarkan program-program yang berkaitan dengan AI seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Universiti College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Selain itu, tambahnya, bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, MBOT turut memberi akreditasi kepada kursus-kursus jangka pendek yang bersifat teknologi termaju melalui Professional Development Certification (PDC).
Melalui PDC, jelas beliau, MBOT akan memastikan kualiti kursus jangka pendek tersebut melalui kerangka penilaian yang menyeluruh meliputi kandungan teknikal, kualiti tenaga pengajar dan aspek penilaian.
Sebagai contoh, katanya, MBOT telah mengakreditasi program-program yang ditawarkan oleh penyedia latihan dalam bidang-bidang teknologi termaju berkaitan dengan reka bentuk litar bersepadu (IC design); semikonduktor dan IoT automation.
“Perkara ini akan dapat membantu dan menyokong bakat-bakat berkemahiran kita untuk mendapatkan latihan sepanjang hayat yang berkualiti mengikut kemahiran spesifik individu tersebut.
“Ini sekali gus memberi peluang yang besar bagi bakat dalam bidang teknologi baharu muncul untuk meningkatkan kompetensi mereka ke tahap profesional,” katanya. – MalaysiaGazette
















