KUALA LUMPUR – Persatuan Staf Akademik (ASA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggesa pihak pengurusan universiti mengambil tindakan segera terhadap ahli akademik yang melanggar etika profesional dan integriti akademik, susulan kontroversi melibatkan seorang pensyarah universiti itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular dakwaan seorang pensyarah UIAM yang mendakwa bahawa, berdasarkan sejarah, orang Rom pernah belajar membuat kapal dengan orang Melayu.
Pensyarah sama sebelum ini mencetuskan perdebatan awam apabila videonya yang disunting mencadangkan bahawa isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah, mungkin berasal dari alam Melayu.
Menurut ASA, kebimbangan mendalam terhadap tindakan dan kenyataan awam ahli akademik yang disifatkan boleh menjejaskan reputasi, kepercayaan awam dan kredibiliti universiti sebagai institusi ilmu berintegriti.
“Kelakuan sedemikian, khususnya apabila ia menjejaskan tanggungjawab sosial atau mengancam reputasi baik universiti, tidak boleh dipandang ringan.
“Kredibiliti institusi kami bergantung kepada integriti, akauntabiliti dan profesionalisme staf akademik,” kata kenyataan itu.
ASA menegaskan bahawa semua ahli akademik perlu mengekalkan standard integriti akademik, kejujuran intelektual, profesionalisme dan akhlak moral sama ada dalam atau di luar kampus.
Persatuan itu turut mendesak agar pengurusan universiti mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap mana-mana ahli yang didapati melanggar tanggungjawab tersebut, sama ada melalui salah laku, salah tafsir awam, atau kenyataan yang bercanggah dengan nilai dan misi universiti.
“Tindakan ini penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan dan ketelusan, tetapi juga untuk mengekalkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap UIAM sebagai pusat ilmu yang berwibawa, berintegriti dan berwawasan moral,” kata ASA lagi.
Kenyataan itu turut menegaskan komitmen ASA dalam mempertahankan prinsip kebebasan akademik dengan tanggungjawab, di samping memelihara integriti intelektual, rasa hormat dan kebenaran yang menjadi asas identiti bersama warga universiti.
“Kami komited memastikan tindakan segelintir individu tidak menjejaskan kehormatan dan integriti kolektif seluruh komuniti akademik,” tegas ASA.
















