DI Malaysia, diabetes sering dianggap sekadar “masalah gula” akibat pengambilan makanan dan minuman manis. Namun, bagi pesakit, ia merupakan penyakit kronik yang boleh menjejaskan organ dalaman, hormon dan berisiko menyebabkan kehilangan anggota badan.
Meskipun biasa berlaku, diabetes masih membawa stigma.
Ramai pesakit berasa dipinggirkan dan lebih membimbangkan, kebanyakan golongan muda tidak sedar mereka menghidap penyakit ini.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 1 daripada 6 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, dan 84% pesakit berumur 18 hingga 29 tahun tidak mengetahui mereka menghidapinyai.
Pakar Perubatan Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Lim Chong Wei, menekankan kepentingan pengesanan awal, pendidikan, dan empati.
“Diabetes bukan sekadar tentang gula, tetapi melibatkan keseluruhan tubuh. Ia boleh dikawal jika dikesan dan dirawat awal bagi mengelakkan komplikasi serius. Untuk ramai, ia tentang mengubah cara kita melihat penyakit ini sebelum terlambat,”katanya.
Bahaya tersembunyi diabetes
Diabetes boleh bermula sebelum simptom berlaku. Antara komplikasi yang paling lazim ialah kerosakan buah pinggang atau nefropati diabetes.
“Ia berkembang secara senyap dengan tanda awal seperti kehadiran protein dalam air kencing yang tidak dapat dilihat mata kasar.
“Tanpa saringan berkala, pesakit mungkin hanya mengetahui selepas keadaan sudah teruk, apabila dialisis atau pemindahan buah pinggang diperlukan,” jelasnya.
Komplikasi lain termasuk kerosakan saraf, serangan jantung, strok, dan juga demensia. Beliau turut menambah diabetes yang tidak dikawal boleh menyebabkan kerosakan saraf, serangan jantung, strok dan juga demensia seawal umur 50-an, jauh lebih awal dari individu yang sihat.
“Ada pesakit seawal usia 30-an datang dengan strok atau masalah saraf, dan ketika itu baru diketahui mereka sudah lama menghidap diabetes jenis 2 yang tidak didiagnosis,” katanya.
Stigma dan kesihatan mental
Dr Lim turut menolak tanggapan bahawa diabetes semata-mata berpunca daripada gaya hidup.
“Ramai menganggap diabetes jenis 2 hanya disebabkan oleh pemakanan atau gaya hidup, tetapi itu tidak benar untuk semua.
“Faktor genetik, gangguan hormon seperti Cushing’s dan akromegali, atau penggunaan steroid jangka panjang juga boleh menjadi punca, membawa kepada kenaikan berat badan dan rintangan insulin. Diabetes juga boleh menjejaskan hormon seks dan kesuburan” katanya.
Lelaki mungkin mengalami mati pucuk dan testosteron rendah, manakala wanita, sering dikaitkan dengan masalah kesuburan yang seperti sindrom ovari polisistik (PCOS).
Melangkaui badan, mengurus diabetes juga memberi kesan kepada kesihatan mental. Dalam 30-40% pesakit diabetes mengalami kemurungan pada satu ketika dalam hidup.
“Pesakit diabetes memikul beban yang sangat berat, termasuk perubahan diet, gaya hidup, mengambil suntikan insulin berkala, mengurus hipoglisemia dan berdepan stigma yang ada. Semua ini boleh menjadi sangat mencabar, jadi kita perlu memberi sokongan lebih baik dan bukan menghukum,” tegas Dr Lim.
Memahami pra-diabetes
Pra-diabetes ialah satu tanda amaran, bukan label. “Jika anda berada pada tahap pra-diabetes, terdapat peluang untuk mengawalnya semula melalui penurunan berat badan, perubahan gaya hidup, serta rawatan ubat. Ini merupakan tempoh penting untuk bertindak,” jelas Dr Lim.
Saringan awal dapat menyelamatkan nyawa
Dr Lim berkongsi kes seorang pesakit lelaki berusia 30-an yang dikesan menghidap diabetes jenis 2 dengan awal melalui saringan rutin.
“Dengan rawatan dan perubahan gaya hidup, beliau berjaya menurunkan berat badan dan meletakkan diabetes dalam keadaan remisi.
“Kes ini membuktikan betapa pentingnya intervensi awal. Ia bukan sahaja mengubah kehidupannya, tetapi juga mencegah komplikasi masa hadapan,” katanya.
Diabetes bukan sekadar tentang apa yang kita makan, tetapi tentang sistem tubuh yang terjejas dan kehidupan yang boleh berubah tanpa disedari.
“Kita perlu lebih membantu mereka yang menghidap diabetes dengan lebih baik.
“Ia memang penyakit kronik, tetapi juga boleh dikawal. Dengan sokongan, rawatan, dan pemikiran yang betul, mereka boleh menjalani kehidupan yang sihat dan mengelak daripada komplikasi,” tambah Dr Lim.

Dr Lim Chong Wei adalah Pakar Perubatan Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.
















