KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) meningkat 1.0 peratus pada suku tahun ketiga 2025, mengekalkan kadar yang sama bagi dua suku tahun berturut-turut.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman meningkat 3.4 peratus berbanding peningkatan 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (4.0%) dan aktiviti perkhidmatan minuman (3.0%).
Indeks lain yang mencatatkan kenaikan adalah pendidikan (1.4%), kesihatan (0.7%) dan profesional (0.6%).
Kedua-dua indeks pengangkutan dan aktiviti hartanah masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus.
Sementara itu, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan peningkatan perlahan 0.4 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Mohd Uzir menambah, indeks maklumat & komunikasi merekodkan penurunan sederhana 0.1 peratus, selepas mencatatkan tiada perubahan pada suku tahun sebelumnya.
Ini dipengaruhi oleh aktiviti telekomunikasi tanpa wayar (-0.1%) dan pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan (-0.1%).
Pada asas suku tahunan, IHPRP mencatatkan peningkatan 0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (0.7%), pengangkutan (0.6%) dan pendidikan (0.3%).
Sementara itu, indeks kesihatan, profesional dan aktiviti hartanah masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 peratus.
Namun begitu, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan 3.1 peratus, selepas peningkatan 2.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Indeks Maklumat dan Komunikasi juga mencatatkan penurunan perlahan sebanyak 0.1 peratus. – MalaysiaGazette
















