KUALA LUMPUR – Keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes laporan Bloomberg terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) menimbulkan persoalan besar, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut beliau, keputusan itu menimbulkan pelbagai tafsiran termasuk kemungkinan wujud kekeliruan terhadap kesahihan dakwaan yang pernah dibuat agensi berita antarabangsa tersebut.
“Apabila hari ini kes ini menjadi NFA, apakah ia membuktikan tuduhan Bloomberg itu benar? Sepatutnya kerajaan wajib ambil tindakan terhadap tuduhan jahat ini,” katanya.
Ahmad Fadhil mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyatakan bahawa AGC telah mengeluarkan arahan NFA berhubung siasatan terhadap laporan Bloomberg yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas arahan Anwar dalam siasatan terhadap individu tertentu.
Azalina berkata, kenyataan itu adalah menurut maklum balas daripada AGC yang mana arahan NFA itu dikeluarkan kerana bukti yang tidak mencukupi dalam kertas siasatan.
Ahmad Fadhli berkata, sewaktu isu itu tercetus tahun lalu, beliau sendiri telah membangkitkan perkara berkenaan dalam Dewan Rakyat ketika sesi Pertanyaan Menteri (PMQT) bersama Perdana Menteri.
“Perdana Menteri dengan penuh tegas menafikan tuduhan Bloomberg dan menyatakan isu ini sedang disiasat oleh PDRM serta tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, laporan Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan SPRM jelas merupakan fitnah jahat yang mencemar imej negara dan institusi kerajaan.
“Saya juga menyentuh semalam berkenaan keputusan Peguam Negara yang telah mengklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) berhubung siasatan polis terhadap laporan Bloomberg tahun lalu yang mendakwa Perdana Menteri campur tangan dalam urusan SPRM,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan tuduhan tersebut sebagai cubaan terancang untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
“Mana mungkin PMX kita sanggup campur tangan dalam urusan SPRM. Saya cadang pejabat Bloomberg di Kuala Lumpur wajib disita kerana tabur fitnah terhadap PMX,” katanya.
Ahmad Fadhli turut mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu demi menjaga maruah negara di mata dunia.
September lalu, Bloomberg dalam laporannya yang memetik sumber, mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah memaklumkan kepada pegawainya bahawa siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya serta bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin kononnya dimulakan atas arahan Anwar.
Bloomberg juga mendakwa bahawa Perdana Menteri mengarahkan SPRM supaya tidak menyiasat seorang bekas pegawainya berhubung pembelian saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem Imigresen bernilai berbilion ringgit.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum ini menafikan kedua-dua laporan terbabit, menegaskan bahawa Anwar tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
SPRM berkata, suruhanjaya itu tidak menerima arahan daripada sesiapa pun, termasuk Perdana Menteri ketika menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu. – MalaysiaGazette
















