Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat menghala ke Tasik Banding, Gerik awal pagi Khamis. Foto JBPM Perak

GERIK – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan simen dalam nahas yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) menghala ke Tasik Banding di sini awal pagi Khamis.

Mangsa maut dikenali sebagai Anuar Ahmad, 39.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 3.10 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dengan sebuah lori membawa muatan simen jenis Volvo.

“Terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta namun tidak tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Ketua Operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan pengusung,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.40 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast