Mohamad Shoki.

BATU KAWAN – Hujan lebat berserta kenaikan paras air laut dikenal pasti antara punca utama kejadian banjir yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran air keluar ke laut sehingga menimbulkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah.

Menurutnya, beberapa kawasan di negeri ini turut terjejas akibat limpahan air dari Sungai Kulim apabila hujan di kawasan bersempadan dengan Kedah itu menyebabkan air melimpah masuk ke sebahagian kawasan Seberang Perai Utara.

“Walaupun banjir kilat berlaku, air cepat surut dan keadaan masih terkawal.

“Alhamdulillah, meskipun tiga negeri dilanda banjir pada waktu itu, Pulau Pinang tidak seteruk kawasan Kemunting dan Kedah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025 di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Shoki memaklumkan tiada lokasi baharu dikenal pasti bagi kejadian tanah runtuh setakat ini, namun pihaknya mengekalkan pemantauan di kawasan berisiko yang sudah disenaraikan.

“Minggu ketiga Oktober lalu, kita terima dua laporan kejadian tanah runtuh masing-masing di Balik Pulau dan Paya Terubong, dalam daerah Barat Daya.

“Kawasan Paya Terubong memang diberi perhatian serius kerana pernah mencatat tragedi pada 2018 yang mengorbankan nyawa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Shoki berkata, sebanyak 57 kes bencana alam direkodkan sejak awal Oktober lalu susulan permulaan musim MTL membabitkan 11 kes banjir, lima kejadian tanah runtuh dan 41 insiden pokok tumbang.

“Jumlah berkenaan dijangka meningkat sekitar 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sejajar dengan perubahan pola cuaca yang semakin tidak menentu.

“Sebanyak 53 kawasan dikenal pasti sebagai hotspot banjir dan enam lokasi berisiko tanah runtuh di seluruh negeri dengan tumpuan di Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast