KUALA LUMPUR – Media di Argentina kembali menggegarkan arena bola sepak Malaysia apabila mendedahkan nenek kepada Imanol Machuca, Concepcion Agueda Alaniz dilahirkan di Roldan, Argentina.
Menurut laporan Capital de Noticias, Agueda Alaniz berasal dari bandar Roldan, wilayah Santa Fe, Argentina dan memiliki sijil kelahiran di sana dan bukannya seperti yang didakwa dilahirkan di Pulau Pinang sebelum ini.
Namun terdapat kemungkinan nenek Machuca berkahwin dengan warganegara Malaysia namun sijil perkahwinan Agueda Alaniz yang direkodkan menunjukkan sebaliknya dan tidak mengukuhkan dakwaan wujud hubungkait dengan Malaysia.
“Pada 27 Ogos 1971, Concepción Agueda Alaniz berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh harian yang juga dilahirkan di Roldan. Akhirnya, tiada dokumen yang menghubungkan Machuca dengan Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain warisan negara dan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Bagaimanapun, FAM dilaporkan berhasrat untuk membawa isu ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – MalaysiaGazette

















