KUALA LUMPUR – Anggota Ronda Bit Balai Polis Jalan Patani membantu seorang lelaki dipercayai warga Thailand yang ditemui terbaring dalam keadaan lemah di tepi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang, semalam.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, kejadian berlaku ketika anggota rondaan sedang menjalankan tugas di kawasan sekitar sebelum ternampak seorang lelaki terbaring di atas jalan berhampiran lebuh raya berkenaan.
“Anggota bertugas segera memberikan bantuan awal dengan memindahkan lelaki tersebut ke kaki lima bagi memastikan keselamatannya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, anggota polis cuba berkomunikasi dengan lelaki berkenaan yang memberi respon namun dia dalam keadaan lemah.
“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, namun hasil perbualan mendapati individu terbabit mengaku sebagai warganegara Thailand,” jelasnya.
Lelaki tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan bantuan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Malaysiagazette
















