KUALA LUMPUR – Tindakan pihak polis yang sekali lagi memanggil Ketua Editor portal berita MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya untuk memberikan keterangan serta merampas telefon bimbit miliknya menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen kerajaan terhadap kebebasan media.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Chai Ko Ting berkata, pihaknya turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap toleransi mengenai peranan media sebagai suara pengawasan semak dan imbang.
Beliau menambah, media merupakan institusi penting dalam sesebuah demokrasi kerana berfungsi menyampaikan kebenaran, mengawasi kerajaan serta mempertahankan kepentingan rakyat.
“Tindakan siasatan berulang terhadap pengamal media dan rampasan peranti boleh mewujudkan kesan membungkam (chilling effect), iaitu suasana di mana wartawan berasa takut untuk melaporkan isu berkaitan kepentingan awam, khususnya yang melibatkan tokoh atau institusi berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Chai, sekiranya terdapat laporan yang dipertikaikan ketepatannya, perkara itu wajar diselesaikan melalui proses kehakiman dan undang-undang sivil, bukannya melalui penyiasatan jenayah yang boleh menjejaskan persepsi terhadap kebebasan media dan integriti kerajaan.
Beliau menambah, bersempena dengan mesyuarat tahunan pertama Majlis Media Malaysia yang berlangsung hari ini sejak penubuhannya, Gerakan berharap badan kawal selia bebas tersebut tampil bersuara dalam mempertahankan kebebasan media dan melindungi wartawan.
“Ini merupakan ujian penting terhadap keberkesanan serta kebebasan Majlis Media Malaysia dalam memastikan media tidak ditekan atau diganggu,” katanya lagi.
Chai turut menggesa pihak polis dan Kementerian Komunikasi memberikan penjelasan yang telus mengenai asas undang-undang siasatan tersebut agar tiada ruang untuk spekulasi, persepsi salah guna kuasa atau campur tangan politik.
“Hanya kerajaan yang benar-benar bersedia menerima kritikan dan semakan awam layak menjadi kerajaan yang diyakini rakyat. Kebebasan media bukan sekadar slogan, tetapi prinsip asas demokrasi yang mesti dipertahankan tanpa kompromi,” tegasnya.
Gerakan dalam pada itu menyeru Kerajaan Perpaduan agar membuktikan komitmen terhadap prinsip kebebasan media melalui tindakan yang konsisten serta memastikan media dapat beroperasi secara bebas, berani dan adil dalam memperjuangkan kebenaran demi rakyat dan negara. – MalaysiaGazette
















