Datuk Mohd Sharizal Semsuddin.

KUALA LUMPUR – Sistem peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dikembalikan semula dalam pendidikan negara bagi menjamin mutu dan kecemerlangan pelajar.

Bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin mendakwa, ramai guru dan ibu bapa ketika ini tidak lagi mampu berdepan dengan kesan akibat pemansuhan sistem peperiksaan tersebut.

Beliau mengambil contoh bagaimana terdapat pelajar tingkatan satu, dua dan tiga yang memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) terpaksa dipulangkan semula ke sekolah harian biasa disebabkan tahap pembelajaran menerusi sistem pentaksiran bilik darjah yang diamalkan kini jauh berbeza dengan sistem peperiksaan.

“Kembalikan semula sistem peperiksaan seperti UPSR, kalau tak mahu guna nama sama, gunalah nama apa sekalipun, asalkan sistem berasaskan peperiksaan kepada pelajar ini dikembalikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Machang berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel pada program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional (RIMBUN) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Program anjuran Pemuda UMNO itu turut menampilkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sebagai ahli panel.

Sementara itu, Mohd Sharizal yang juga lebih dikenali sebagai Cikgu Jaja berkata, sistem pengambilan guru perlu disemak semula dalam memastikan hanya guru yang benar-benar berkelayakan bergelar warga pendidik.

Beliau menarik perhatian berkenaan pengambilan guru menerusi kursus Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) yang disifatkan mempunyai beberapa kelemahan.

Antaranya, kata beliau, daripada segi had umur yang mana terdapat individu yang berumur 43 tahun turut ditawarkan program itu, dan memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada usia yang tidak lagi sesuai.

Selain itu, jelasnya, tidak seperti jurusan perguruan di institut perguruan atau universiti awam dan swasta, kursus PDPP boleh diikuti sepenuhnya secara dalam talian, manakala sesi penilaian dan pembelajaran memadai secara rakaman video yang kemudian di e-mel kepada pensyarah untuk dinilai.

“Adakah ini cara yang profesional untuk kita melahirkan warga pendidik? Jangan lacurkan profesion perguruan dengan membiarkan perkara seperti ini berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast