KUALA LUMPUR – Enam lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki senegara di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, Selangor malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah rakan serumah suspek utama.
“Kita masih lagi mengesan suspek utama yang dikenalpasti sebagai lelaki warga India.
“Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada empat saksi termasuk pengadu, malah semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian telah disemak dan diperoleh bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa berusia 49 tahun itu bekerja sendiri sebagai juruelektrik dan telah menetap di negara ini kira-kira 19 tahun.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki pemastautim tetap warga India ditemukan mati di tangga rumah kedai di Pusat Bandar Puchong.
Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, bilik gerakan IPD Serdang telah menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan berhubung penemuan mayat mangsa sekitar jam 7.03 malam.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pihak berkuasa di mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222.
Katanya, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette














