KAJANG – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu, kesemua 22 ahli GISBH akur mereka menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah ketika terlibat dalam kumpulan perniagaan itu.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Nasiruddin Mohd. Ali bagaimanapun telah insaf dan kesal dengan anutan salah yang diamalkan.
Rosli menyatakan demikian ketika membentangkan hujahan bagi meringankan hukuman terhadap 22 tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Sementara itu, salah seorang kepimpinan tertinggi GISBH, Hamimah Yakub, 72, yang didenda RM4,500 atas kesalahan itu, mengaku insaf dan mahu kembali ke pangkal jalan.
Wanita itu yang ditemui wakil media sejurus membayar denda melahirkan rasa lega dengan keputusan mahkamah selain memperoleh banyak pengajaran berkaitan kes tersebut.
Bekas akauntan syarikat tersebut berkata, selepas dibebaskan dengan jaminan pada 13 Januari lalu, dia bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk sesi pemulihan.
“Menerusi sesi dengan pihak JAKIM yang masih berterusan sehingga kini, saya mendapat banyak pencerahan dan lebih optimis untuk berubah,” katanya.
Dalam prosiding yang berlangsung di Kompleks Penjara Kajang hari ini, Rosli turut berhujah agar mahkamah mempertimbang hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada September tahun lalu.
Hujah beliau, tertuduh lelaki telah menjalani tahanan dalam penjara selama setahun, sebulan dan 20 hari manakala tertuduh wanita selama enam bulan selepas dibebaskan dengan jaminan pada 24 Mac lalu.
“Kami memohon tempoh tahanan reman yang telah dijalani oleh kesemua tertuduh lelaki diambil kira oleh mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman yang paling minimum terhadap mereka.
“Selain itu, kami memohon hukuman denda paling minimum dikenakan terhadap tertuduh wanita,” ujarnya.
Dalam hujahannya, Rosli turut memohon perintah mahkamah supaya barang-barang kes yang tidak lagi digunakan oleh pihak pendakwaan terutama telefon bimbit, dikembalikan kepada mereka.
Rosli turut menghujahkan, Nasiruddin dan dua lagi iaitu Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; masih dalam jaminan bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Shafiq Hasim memohon hukuman berbentuk pencegahan dan setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan kesemua tertuduh yang memberi kesan dari aspek sosial dan keselamatan negara.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak mengambil kira faktor umur kerana kesemua tertuduh adalah matang, dewasa serta mampu membezakan antara keburukan dan kebaikan tentang kesalahan dilakukan.
“Pengakuan salah kesemua tertuduh bukan faktor utama dalam mengurangkan hukuman.
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara yang sesuai terhadap tertuduh-tertuduh, berdasarkan undang-undang dan prinsip hukuman,” katanya yang mengendalian kes bersama TPR Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Norinna Bahadun. – MalaysiaGazette
















