Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan itu sebagai
pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan global yang inklusif dan mampan.

“Pemilihan Malaysia adalah amanah untuk memastikan suara negara negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati,” katanya yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia menerusi kenyataan, hari ini.

Pemilihan itu diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO Ke-43 di Samarkand, Uzbekistan.

Menurut Fadhlina, i menyerlahkan komitmen berterusan negara untuk membina masa hadapan yang lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.

Tambah beliau, Malaysia akan terus menjadi rakan yang strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, memacu dasar dan inisiatif yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan, serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar dunia.

Katanya, menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akandatang, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast