Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menafikan laporan yang mendakwa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu ada membincangkan mengenai peluang kepada pemimpin yang dibuang atau dipecat kembali semula ke parti itu.

Menurut beliau, laporan oleh sebuah akhbar yang memetik sumber dalaman itu adalah tidak benar dan mengelirukan.

Jelasnya, berdasarkan perlembagaan parti Fasal 22.6, mana-mana ahli yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Seterusnya, Lembaga Rayuan akan mempertimbangkan dan memutuskan kedudukan rayuan yang dibuat berdasarkan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya oleh perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar yang memetik sumber dalaman melaporkan, mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini memberi peluang kepada ahli yang digantung dan dipecat untuk kembali bersama parti, sebagai sebahagian usaha memperkukuh semula perpaduan dan kekuatan dalaman.

Dakwa sumber itu, semua pimpinan dalam mesyuarat tersebut sependapat bahawa kekuatan Bersatu perlu diperkasa melalui penyatuan semula mereka yang dipecat dan digantung dengan semangat setiakawan.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu membuat keputusan memecat lima pemimpinnya termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan selain menggantung keahlian sepenggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Selain Wan Saiful, empat lagi yang dipecat adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Lembaga Displin Bersatu memutuskan mereka didapati bersalah melanggar disiplin parti susulan kontroversi akaun bersumpah (SD) yang mendesak supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast