Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MARC Ratings Bhd mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menyaksikan penurunan sebanyak 25 mata asas lagi pada 2026.

Ketua Ahli Ekonominya Dr Ray Choy berkata keadaan monetari global yang lebih longgar selain hasil pulangan lebih rendah dijangka mewujudkan persekitaran lebih baik bagi tujuan terbitan sukuk dan bon.

“Kami menjangkakan terbitan sukuk dan bon di Malaysia tahun depan akan lebih positif, didorong oleh dasar monetari global lebih longgar yang akan membawa kepada hasil pulangan lebih rendah dalam pasaran bon.

“Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh di Malaysia selain kitaran pelaburan yang rancak semula menerusi peningkatan tahap pelaburan langsung asing dan pembentukan modal tetap kasar,” katanya ketika berkongsi pandangan menerusi pembentangannya di Persidangan Bon dan Sukuk Malaysia MARC 2025 secara maya hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Choy berkata penurunan hasil akan menggalakkan pihak korporat melakukan pembiayaan semula korporat serta pembiayaan infrastruktur, sejajar dengan penurunan kos pinjaman mengikut aliran monetari global.

Pada masa sama, katanya, bank-bank pusat juga meninjau haluan ke arah usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

“Wujud kebergantungan tidak seimbang terhadap dolar AS dan atas alasan inilah terdapat perbincangan berterusan mengenai usaha mempelbagaikan penggunaan mata wang lain selain dolar AS,” katanya.

Beliau juga berkata aliran semasa lebih menjurus kepada serantau yang makin mendapat tarikan dari segi perdagangan dan geopolitik.

Susulan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, Choy berkata rundingan dalam kerangka ASEAN+3 telah membawa kepada pengurangan tarif purata sekitar 11 peratus bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2025 yang memaparkan peningkatan kekerapan pelarasan perdagangan serantau.

Menurutnya, defisit perdagangan AS dengan China juga telah berkurangan secara ketara daripada paras tertinggi sebelumnya manakala defisitnya dengan ASEAN pula melebar — petanda lencongan perdagangan ke rantau ini sudah pun berlaku.

MARC juga mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sekitar 4.3 peratus dalam 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta aliran pelaburan berterusan manakala Indeks Harga Pengguna dianggarkan pada paras 1.4 peratus pada 2025 dan 1.6 peratus pada tahun depan.

“Hasil global lebih rendah, inflasi yang dapat dikawal dan kelangsungan kitaran pelaburan Malaysia akan mewujudkan sokongan bagi pasaran pendapatan tetap untuk 2026,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast