KUALA LUMPUR – Tindakan pasangan kekasih yang menanam ganja hasil tunjuk ajar daripada video di aplikasi YouTube membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Bangsar, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas dua pokok ganja setinggi 48 sentimeter dan tumbuhan-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis Cannabis seberat 27 gram.
Kesemuanya dianggarkan berjumlah RM1,210.
Selain itu, polis turut merampas dua telefon bimbit, empat utas rantai leher, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, dua cincin, dan empat loket,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasangan yang berusia 40 dan 48 tahun itu dipercayai mendiami kediaman tersebut hampir setahun dan mula menanam pokok ganja sejak tujuh minggu lalu dengan mempelajarinya dari YouTube.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati suspek lelaki terbabit positif dadah jenis THC dan mempunyai satu rekod dadah manakala teman wanitanya pula negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















