Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri), bersama ahli-ahli kongres dan anggota pentadbirannya, menyampaikan ucapan semasa majlis makan malam dengan pemimpin negara-negara Asia Tengah di Bilik Timur, Rumah Putih pada 6 November 2025 di Washington, DC. Trump menjadi hos kepada presiden Kassym-Jomart Tokayev dari Kazakhstan, Serdar Berdimuhamedow dari Turkmenistan, Sadyr Japarov dari Kyrgyzstan, Shavkat Mirziyoyev dari Uzbekistan dan Emomali Rahmon dari Tajikistan. Andrew Harnik/Getty Images/AFP (Foto oleh Andrew Harnik / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images melalui AFP)

KUALA LUMPUR – Pengumuman Presiden Donald Trump bahawa Kazakhstan bakal menyertai Perjanjian Abraham dianggap janggal oleh pakar-pakar perhubungan antarabangsa kerana negara Islam itu bukan sahaja telah mengiktiraf Israel malah mempunyai hubungan diplomatik sejak 30 tahun lalu.

Perjanjian Abraham ialah satu pakatan diplomatik yang diusahakan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2020 untuk menormalisasikan hubungan antara Israel dan beberapa negara majoriti Islam.

Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Timur Tengah, Daniel B. Shapiro berpendapat, pengumuman bahawa Kazakhstan akan menyertai Perjanjian Abraham kedengaran agak pelik.

“Tiada kejayaan besar di sini, dan mungkin tidak lebih daripada usaha Kazakhstan untuk memikat hati Trump,” katanya yang juga merupakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Israel dari 2011 hingga 2017.

Namun begitu menurut Shapiro, terdapat nilai simbolik sederhana dalam menunjukkan momentum ke arah membina satu komuniti negara di dalam dan di sekitar Timur Tengah yang berusaha bekerjasama untuk memajukan kepentingan bersama.

Inilah juga katanya, matlamat Forum Negev, yang ditubuhkan pada tahun 2022, melibatkan Amerika Syarikat dan Mesir, serta Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, dan Maghribi.

Namun, kejayaan atau kegagalannya akan diukur melalui projek kerjasama praktikal yang muncul dalam bidang seperti perdagangan, pertahanan, kesihatan, tenaga, pendidikan, teknologi dan pelancongan yang dapat membawa manfaat integrasi serantau kepada rakyat negara-negara yang terlibat.

Sementara itu, Felo bukan pemastautin Program Timur Tengah Majlis Atlantik (Atlantic Council) Danny Citrinowicz berkata, pengumuman itu jelas menunjukkan pentadbiran Trump sedang cuba melaksanakan startegi serampang dua mata.

Jelas beliau, AS mahu membuktikan bahawa “jenama” Perjanjian Abraham masih hidup terutamanya menjelang lawatan Putera Mahkota Arab Saudi ke Washington dan pada masa yang sama menyindir cita-cita China di ruang Eurasia.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 25 dalam Perisikan Pertahanan Israel menambah, namun pada hakikatnya Arab Saudi tidak akan menyertai Perjanjian Abraham jika tiada kemajuan ketara dalam rundingan politik antara Pihak Berkuasa Palestin dan Israel.

Tegas beliau,  tanpa Arab Saudi, agak mustahil negara-negara Islam lain akan menyertai perjanjian tersebut.

Oleh itu katanya, pentadbiran sepatutnya menumpukan usaha untuk memperbaharui dialog politik antara Israel dan Palestin, kerana inilah satu-satunya landasan yang boleh menjamin pengembangan perjanjian ini.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu di Pusat Eurasia Majlis Atlantik Andrew D’Anieri berkata, pengumuman tersebut adalah langkah pragmatik yang bijak untuk menarik perhatian positif daripada Washington.

Ia juga dapat membantu merangsang minat ekonomi yang lebih konkrit terhadap Kazakhstan daripada agensi kerajaan AS dan sektor swasta.

“Terletak di antara Rusia dan China, Kazakhstan mahu mempunyai sebanyak mungkin rakan kerjasama, dan secara khususnya, Astana mahukan hubungan yang lebih aktif dengan Amerika Syarikat dan Eropah.

“Presiden Tokayev berharap syarikat-syarikat Amerika akan melabur di Kazakhstan, khususnya dalam sumber mineral yang luas dan industri berteknologi tinggi.

Katanya, Kazakhstan telah lama menormalisasi hubungan dengan Israel, jadi penyertaan dalam perjanjian tersebut merupakan langkah positif  tetapi pada asasnya sekadar formaliti tanpa kos besar bagi negara Islam itu.

Tambah beliau, penyertaan dalam Perjanjian Abraham juga merupakan tanda penghormatan kepada Trump yang menjadikan perjanjian tersebut pencapaian utama dasar luar dalam penggal pertamanya.

Presiden Donald Trump mengumumkan berita itu di Washington, DC, pada Khamis semasa Sidang Kemuncak C5+1, yang turut dihadiri oleh Presiden Kazakhstan Kassym Jomart-Tokayev serta pemimpin dari empat negara Asia Tengah lain. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast