Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, pada Rabu

PUTRAJAYA – Dokumen lengkap mengenai Perjanjian Timbal Balik (AR) antara Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kini boleh diakses di laman web Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Jurucakap kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, dokumen lengkap itu telah dimuat naik bagi membolehkan orang awam untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai perjanjian tersebut.

“Jadi tak menjadi isu (kerana) dokumen tersebut kini boleh diakses di laman web MITI sekarang, sepenuhnya.

“Ia telah boleh diakses sejak awal minggu ini, secara sepenuhnya, bersekali dengan soalan lazim ataupun frequently asked questions,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata isu berkenaan juga turut dibincangkan di meja mesyuarat Kabinet, hari ini selain dimasukkan ke dalam Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk diteliti sepenuhnya.

Sehubungan itu tegas beliau, tidak timbul isu seperti yang didakwa seorang Ahli Parlimen Selasa lalu semasa sesi soal jawab Perdana Menteri.

Isnin lalu, MITI mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan FAQ rasmi berkenaan perjanjian yang ditandatangani oleh Malaysia dan AS.

MITI dalam kenyataan memaklumkan, Soalan Lazim itu boleh diakses menerusi pautan di laman mikro khas, www.miti.gov.my/ART.

Laman ini berfungsi sebagai rujukan tunggal untuk rakyat Malaysia dan pemain industri dalam mendapatkan maklumat yang tepat, jelas dan sahih mengenai perjanjian ART yang baru dimeterai antara kedua-dua negara.

Laman tersebut turut memuat naik kenyataan rasmi, ucapan dan bahan rujukan untuk pembacaan serta analisis yang lebih mendalam.

Bagi pertanyaan teknikal mengenai ART pula, soalan berkaitan boleh dihantar menerusi e-mel ke ART Helpdesk di [email protected].

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan Kabinet tidak membincangkan mengenai tempoh perkhidmatan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

“Memang kita tahu ada dua kekosongan pada waktu ini dan apabila tempoh perkhidmatan Senator Datuk Seri Tengku Zafrul tamat, maka terdapat kekosongan ketiga bagi jawatan menteri.

Tengku Zafrul sebelum ini berkata beliau akan terus kekal dalam politik dan berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas tempoh penggalnya sebagai seorang senator di Dewan Negara tamat pada Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast