KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau memulakan kempen awal menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah dengan meninjau Kampung Sim Sim, Tanjong Papat, Sandakan.
Katanya, apa yang dapat dilihat di kampung itu adalah sesuatu yang amat menyedihkan dengan longgokan sampah, bau busuk dan keadaan persekitaran yang tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ia adalah cara hidup yang harus diterima oleh penduduk Sabah hari ini.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menyelar kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sering bercakap tentang pembangunan dan kemajuan, tetapi isu asas seperti kebersihan, kesihatan dan infrastruktur masih diabaikan.
“Persoalannya, apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri?
“Apa tindakan wakil rakyat kawasan ini? Tidakkah mereka nampak penderitaan rakyat di sini?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Tambah Dominic, penduduk tidak mahu lagi mendengar janji kosong, sebaliknya mahukan tindakan segera berhubung isu tersebut.
Jelasnya, penduduk mahu kawasan itu dibersihkan, sistem perparitan dibaiki dan kemudahan asas yang bersih dan selamat disediakan untuk keluarga yang tinggal di Kampung Sim-Sim tersebut.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan (Sabah) berhenti berdalih dan benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Perikatan Nasional akan terus bersuara dan memperjuangkan keadilan untuk rakyat Sabah, supaya setiap rakyat termasuk di Kampung Sim Sim dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah dan bersih,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRN-17 Sabah pada 29 November ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November ini.
PRN-17 Sabah menyaksikan seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab termasuk 11,697 pengundi tentera dan pasangan, manakala 12,729 polis serta pasangan. – MalaysiaGazette
















